Saturday, July 23, 2011

Tolonglah maafkan, saya hanya memondan dalam perhimpunan Bersih kali ni

(Panjang sikit kali ni. Kalau rajin, baca la). Dalam posting bertajuk "Kerajaan curi-curi Malaysia" 16 Jun lalu, saya tulis seperti berikut:
Orang dok mengutuk tiap-tiap hari, anak nak bersedap-sedap pun tibai duit rakyat. Depa peduli apa, tengah-tengah orang dok bising fasal beg tangan, orang yang berlegar di sekitar istana depa bikin cerita bahawa masuk lagi beg tangan import. Tu tak kira lagi sok sek-sok sek depa tentang kemasukan berlian bernilai RM13 juta sebulan dua yang lalu. Gila-gila punya cerita. Kita takat bersembang fasal khabar angin dari istana depa je la. Bukti tak ada.

Khabar angin itu mungkin bohong. Tetapi persoalannya, mengapa orang yang berlegar di istana depa hentam sakan? Adakah depa geram sangat? Punyalah bersungguh depa menghentam, siap cerita fasal bomoh Hindu lagi.
Dalam lebih kurang seminggu ni, saya hampir-hampir tak tengok Internet. Dok sibuk hal lain.

Selepas berpindah dari rumah dahulu yang saya sewa kira-kira 17 tahun sebab tuan rumah nak duduk balik rumah dia, ni nak pindah balik ke Taman Koperasi Polis. Nak duduk balik dekat rumah mak mertua. Senang dan dekat sikit isteri saya nak jaga dan menyantuni mak dia. Bila nak pindah, banyak nak kena siap, terutama duit. Saya dah kata kat isteri saya, bila kita ada duit sikit nanti dan ada rumah kosong dekat rumah mak, kita balik dekat mak. Tak dan nak ada duit barang sekepiang, tiba-tiba dah ada rumah kosong.

Tak rebut rumah tu, bukan senang nak ada rumah kosong dekat-dekat rumah mak. Nak buat lagu mana. Tak dak duit pun nak kena berlagak macam orang ada duit - senang-senang nak mintak masuk rumah orang walaupun tak dak duit. Mampoih!

Tak pa. Tu hal peribadi saya. Saja saya cerita sebab musabab mengapa saya tak main internet dalam seminggu ni. Dalam pada tak main Internet, tiba-tiba kawan baik telefon dan bagi tau tentang posting yang bertajuk "Raya sakan: Imelda Rosmah dan cincin nilai RM24.4 juta".

Saya dah dengar cerita tu lama dah. Tinggal lagi, angka yang diberitahu kepada saya RM13 juta. Dalam blog Rakyat Marhaen kata RM24.4 juta.

Saya tak berani nak tulis sakan perbuatan terkutuk itu sebab tak ada bukti. Walaupun telah didedahkan oleh blog tersebut siap dengan print screen, saya masih berharap cerita itu tak betul. Sungguh, saya memang harap cerita tak betul. Sebab kalau betul, memang sah Datin Seri Rosmah Mansor dan suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah penyamun dan perompak wang rakyat. Itu kalau betul. Sebab itulah saya harap tak betul.

Saya berharap mereka akan dapat menafikan tanpa sebarang keraguan. Jangan buat kelaku yang semakin menguatkan rasa tak percaya orang macam dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Semakin ramai yang semakin tak percaya penafian depa bahawa depa tak terlibat.

Harap tak betul. Sebab kalau betul, adalah menjadi kewajipan orang-orang Islam yang Allah s.w.t. wajibkan amar ma'ruf nahi munkar untuk memohon kepada-Nya supaya Ia melaknati Najib dan isterinya. Apa lagi yang Najib tak buat? Tak kisahlah Najib tak mengaku keluarganya terlibat dalam pembunuhan Altantuya. Yang sah, Allahyarham Othman Talib mati dibunuh di Felda Lubok Merbau akibat ucapan dan hasutan Najib di situ dalam pilihan raya kecil Padang Terap pada tahun 1985. Terbaru, Allahyarham Baharudin Ahmad terbunuh akibat sesak nafas selepas terkena gas pemedih mata yang ditembak polis di bawah pemerintahan Najib (saya mohon maaf kepada keluarganya kerana hanya dapat ziarah sekejap di Surau Muqorrobin sebab ada kerja)..

Polis memang nafi terlibat (sila baca Harakah Daily 11 Julai 2011 "Questions surround Baharudin's death despite police denial"). Untuk membantu anda membuat keputusan tentang penafian polis itu, sila baca berita bertajuk "Polis: Tiada gas pemedih mata dilepas di Tung Sin" dan kemudian baca berita bertajuk "Hospital kena tembakan gas pemedih mata, meriam air". Selepas itu, anda juga boleh membuat keputusan mengenai berita yang saya nak tergelak sungguh bertajuk "Cops link parang, petrol bombs seizure to Bersih.

Saya dah kata. 10 Umno kata (atau pak yetnya), 12 tak boleh percaya. Contohnya baca berita bertajuk "Pemuda Amal kecam akhbar ubah suai gambar".

Najib yang nampak sangat gelabah hari ini gesa 'majoriti senyap' bangun nyata pendirian. Di sini hang punya majoriti senyap. Dengan penyokong seciput 2830 orang (setakat 5.23 petang 11/7/11), admin laman FB "1 Juta Rakyat Malaysia Menyokong Kepimpinan DS Najib" menghiburkan mimpinya yang tak kesampaian dengan menulis penglipurlara "walaupun nilainya sedikit tapi kecil-kecil cili padi"!

Dan, kalau anda belum join lagi laman "100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation", join segera! Malaysiakini hari ini melaporkan, "hanya 48 jam selepas dimulakan, jumlah itu sudah melepasi sasaran yang 100,000 yang ditetapkan sebelum ini."

Mengenai himpunan rakyat Sabtu lalu (9 Julai yang bersejarah!), untuk diri saya sendiri, kali inilah yang saya rasa paling tak happening. Sebaik sampai ke tempat orang berhimpun di sekitar Maju Junction dan Chow Kit (saya pergi dah dalam pukul 1 lebih dah sebab pagi tu kena tolong isteri mengajar), kawan-kawan yang bawa saya dah pesan, "hang jangan lebih-lebih, bakaq. Jangan menjerit. Jangan nak berkejar-kejar". Mentang-mentanglah saya baru keluar wad CCU akibat serangan jantung!

Dalam lagu tu pun, dapat juga saya berjalan kaki pergi balik dari Jalan Raja Abdullah di Kampung Baru sehingga ke kawasan sekitar KLCC untuk turut berada. Alahai, hanya turut berada aku kali ini. Dulu-dulu, aku yang duduk depan buat human wall dan tolak perisai FRU. Saya sungguh-sungguh memohon maaf kepada semua rakyat yang berani dan dimangsakan keganasan polis kerana kali ini hanya memondan dalam perhimpunan Bersih Sabtu lalu. Tu pun aku buat pekak pada cakap mak mertua yang berkali-kali pesan supaya jangan pergi dan buat tak endah cakap adik ipar saya - satu-satunya doktor dalam keluarga kami.

Walaupun saya hanya memondan dalam perhimpunan Bersih kali ini kerana terbawa-bawa sangat perasaan takut mampoih akibat serangan jantung kalau galak sangat berkejar-kejar, banyak perkara yang menggembirakan hati saya:
1. Penghibur hati saya yang paling utama ialah apabila melihat rakyat bertindak sendiri tanpa menunggu pemimpin memandangkan ramai yang bergelar pemimpin awal-awal lagi dah kena tangkap. Perhimpunan raksaksa di sekitar KLCC misalnya dah dekat nak habis baru Dr Mohd Hatta Md Ramli dapat menggabungkan diri dengan mereka. And, it was happening!

2. Ramai yang bersetuju bahawa 75 peratus yang berhimpun adalah anak-anak muda. The truh has a future! (Sebagai ayah, jahat-jahat aku pun, saya teringat anak saya yang turut berhimpun, tapi tak tau di mana dia dan kawan-kawannya berkumpul. Saya sms, "Baqir katne?" Lama kemudian dia reply. Dia hanya tulis "Terbaik". Saya fikir tak perlu lagi saya merasa bimbang. Biarlah dia belajar mengharungi gas pemedih mata, air beracun dan masuk lokap, kata hati saya)

3. Apabila membaca posting Datin Paduka Marina Mahathir bertajuk "My Bersih 2.0 Experience" (komen-komen di sini). Bongok dan kelakar gila kalau siapa-siapa tuduh Marina menyokong pembangkang. Nak tunggu Marina sokong PAS misalnya, tunggulah sehingga babi boleh terbang!

Marina bukan penyokong pembangkang. Saya yakin dia hanya menyokong perjuangan membersihkan pilihan raya negara ini.

Walau tak ada kaitan, teringat saya sembang saya dengannya. Lama dah, tak ingat bila. Lebih kurang saya kata, "Datin, banyak pemikiran Datin yang saya meluat (kasaq sungguh, saya guna perkataan meluat). Tapi as a person, saya hormat sangat kat Datin sebab saya rasa Datin ni very compassionate". Dia jawab balik (kalau tak silap dalam Bahasa Inggeris) dan lebih kurang dia kata, "bakaq, tak sama pendapat tak semestinya tak boleh berkawan". Masa anak saya kembali ke pangkuan Penciptanya Yang Maha Pengampun, Marina adalah antara yang paling awal menghantar sms mengucapkan takziah kepada saya walaupun beliau pada masa itu pulang ke kampung suaminya di Indonesia menghadiri pengebumian ibu mertuanya.

4. Bila balik rumah, dua anak perempuan saya yang dok tengok laptop masing-masing gelak sampai saya marah sebab malu kat jiran sebab depa gelak kuat sangat. Saya tanya pasai apa gelak kuat sangat? Anak saya yang sulung baca petikan berita di bawah:
3.40pm: Taman Tasik Titiwangsa - Kira-kira 20 ahli PERKASA dilihat di sebuah restoran di sini. Mereka hanya mengikuti perkembangan perhimpunan BERSIH melalui siaran televisyen.Namun presiden kumpulan itu, Ibrahim Ali dan timbalannya langsung tidak kelihatan.

3.22pm: Bukit Bintang - 300 penyokong Pemuda Umno di Jalan Bukit Bintang di depan Hotel Federal mula bersurai selepas mengadakan rundingan dengan pihak polis. Sambil mendakwa telah mencapai kemenangan moral - walaupun hanya mampu bergerak 200 meter sepanjang Jalan Bukit Bintang - masih jauh dari destinasi mereka di Stadium Merdeka - Exco Pemuda Umno, Megat Omardin berkata mesej mereka sudah disampaikan.
Teringat saya kata-kata saya kat kawan-kawan masa minum di Restoran Thaqwa, "puak tu makan upah. Tak upah jangan harap depa nak datang (konon sampai beribu-ribu orang)".

0 comments:

Post a Comment